Oleh Wan Hashim Wan Daud, Chief Officer

Selat Juan de Fuca sepanjang 95 batu menjadi sempadan antara British Columbia, Canada dengan Washington State, Amerika Syarikat. Selat ini menghubungkan pelabuhan-pelabuhan di Port Angeles, Seattle, Victoria, Vancouver B.C., Fraser, Powell River, Nanaimo, Crofton, Bellingham dengan Lautan Pasifik.

selat-juan-de-fuca

Selepas melalui Selat Juan de Fuca, kapal-kapal yang ingin ke pelabuhan-pelabuhan di Washington State akan melalui Puget Sound, manakala kapal-kapal ke British Columbia akan melalui Selat Georgia.

Selat Juan de Fuca banyak memberi kenangan kepada saya. Maklumlah, saya telah melalui selat ini sepanjang 26 kali antara tahun 1984 hingga tahun 2003. Paling kerap sekitar tahun 1990 hingga tahun 1992. Ketika itu, Vancouver B.C. adalah home port bagi armada bulk carrier MISC. Ramai pilot (jurumalim) yang saya kenal dengan rapat, malah saya masih lagi ingat setiap alteration point dan jarak pelayaran antara pelabuhan.

Jika belayar ke British Columbia, pilot akan naik di Victoria Pilot Station, dan jika ke Seattle, Bellingham atau Puget Sounds Port, pilot akan naik di di Port Angeles.

Pelayaran ke Vancouver B.C. mengambil masa selama 13 jam dari Juan de Fuca Entrance. 24 jam sebelum memasuki Selat Juan de Fuca, kapal harus buat melapor kepada Tofino Traffic. Semua pergerakan kapal dipantau oleh VTIS Tofino dan Washington.