Oleh Wan Hashim Wan Daud, Chief Officer

Antara pengalaman yang tak dapat saya lupakan adalah perjalanan panjang yang saya tempuhi pada tahun 1998. Ketika itu saya akan sign on di kapal MV Selendang Ayu yang sedang memuat kargo arang batu di Navlakhi, India.

navlakhi

Ada dua penerbangan yang perlu saya naik untuk sampai ke destinasi. Pertamanya saya naik pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura menuju Mumbai, India. Saya tiba di Mumbai kira-kira jam 3.40 pagi dan sempat berehat seketika di hotel.

Jam 6.00 pagi bergegas semula ke lapangan terbang Mumbai untuk naik pesawat berikutnya jam 8.10 pagi. Kali ini destinasinya adalah Rajkot, Gujerat. Penerbangan domestik ini ambil masa hanya 1 jam sahaja.

Sebaik selesai proses di Rajkot, saya terus menyambung perjalanan untuk ke destinasi akhir iaitu Navlakhi. Perjalanan kali ini menaiki kenderaan pacuan empat roda, merentasi kawasan separa gurun dengan jalan yang berdebu dan tandus sejauh 120KM. Apabila tiba di Navlakhi, seluruh muka dan badan habis dilitupi debu.

Inilah yang disebut orang-orang tua; jauh perjalanan, luas pemandangan, banyak pengalaman.

Di Navlakhi, kena tunggu pengangkutan yang berikutnya pula untuk sampai ke kapal. Akhirnya, selepas 24 jam dalam perjalanan, barulah saya dapat menjejakkan kaki ke MV Selendang Ayu kira-kira jam 6.30 petang waktu tempatan. Daripada jeti, saya menaiki bot tunda untuk ke kapal.

Semasa menunggu bot tunda, saya berehat sebentar di pejabat Checker. Sempatlah dijamu dengan capati dan kuah dal, dan juga dijamu mata dengan tikus-tikus yang berlari ulang-alik bagaikan buah persembahan depan saya. Ketika itu tak pernah dengar lagi penyakit kencing tikus, kalau tidak pastinya saya tak lalu nak makan terus.

Selepas pengalaman ini, tiap-tiap kali saya ke India, pasti saya akan teringatkan Navlakhi. Teringatkan perjalanan panjang yang penuh cabaran, menaiki 3 mod pengangkutan untuk sampai ke kapal. Pengalaman persembahan tikus pun saya ingat, akhirnya tersenyum sendiri.

Sekarang saya pun dah bersara menikmati kehidupan di kampung halaman, dan MV Selendang Ayu juga telah ‘bersara’. MV Selendang Ayu kecundang di Aleutians dalam tahun 2006. Kapal bulk carrier saiz Panamax sepanjang 252 meter itu terbelah dua dan tenggelam setelah terdampar dalam ribut.