Pasukan Penghantar (Delivery Team) yang diketuai oleh Capt Mohd Fauzi bin Abdullah telah berjaya menyelesaikan penghantaran sebuah feri berkelajuan tinggi dengan hull jenis catamaran daripada Bei Han, China ke Langkawi Malaysia.

Feri ‘MY MASTER 2’ menggunakan sistem kuasagerak waterjet dimiliki oleh JMV Ferry Services Sdn Bhd.

my-master-2

Perjalanan penghantaran daripada China ke Malaysia mengambil masa 7 hari.

Pasukan Penghantar merupakan cabang kepakaran khusus dalam industri maritim. Khidmat mereka biasanya digunakan bagi mengambil kapal yang dibina di limbungan yang berada jauh daripada kawasan operasi kapal tersebut.

Sebagai contoh, feri yang beroperasi di perairan Langkawi biasanya menggunakan khidmat anak kapal dengan had pelayaran pesisir pantai sahaja (near coastal). Oleh itu, anak kapal tersebut tidak mempunyai COC yang membolehkan mereka untuk mengoperasikan feri tersebut di perairan antarabangsa.

Oleh yang demikian, pemilik kapal biasanya akan melantik pasukan penghantar yang memiliki COC yang bersesuaian untuk membawa pulang kapal mereka.

Tugas pasukan penghantar bukan sahaja terhad kepada membawa balik kapal sahaja. Biasanya mereka digerakkan sehingga sebulan lebih awal ke limbungan pembinaan kapal tersebut, dan merekalah yang bertanggungjawab bagi memastikan segala keperluan operasi kapal dibekalkan oleh penyedia perkhidmatan.

Mereka akan menerima stok bekalan yang amat banyak, umpama berpindah ke rumah baru.

Selain itu, pasukan penghantar juga memiliki kepakaran dalam pemilihan laluan pelayaran yang bersesuaian. Apabila mereka mengoperasikan kapal kecil yang direka untuk beroperasi di pesisir pantai, jadi mereka perlu memilih laluan pelayaran yang bersesuaian ketika melalui perairan anatarabangsa bagi mengurangkan pendedahan kepada risiko kerosakan akibat cuaca.

Pasukan penghantar juga sentiasa peka dengan ancaman keselamatan terutamanya serangan lanun.