Di Malaysia, polisi berkenaan pengangkutan laut diuruskan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui Bahagian Maritim, manakala agensi perlaksana adalah Jabatan Laut Malaysia (JLM).

Bagi hal ehwal berkaitan pelaut, sebuah divisyen khas ditubuhkan oleh JLM iaitu BHEPP – Bahagian Hal Ehwal Pelaut & Pelabuhan. BHEPP menguruskan pelaut melalui 3 unit terasnya iaitu;

  1. Unit Penilaian & Standard Latihan
  2. Unit Pembangunan Pelaut
  3. Unit Peperiksaan & Perakuan Pelaut

Perundangan berkaitan pelaut boleh didapati dalam Part III: Master & Seamen, Merchant Shipping Ordinance (MSO) 1952, seperti dipinda. Selain itu, terdapat undang-undang kecil lain yang turut berkait langsung dengan hal ehwal pelaut seperti berikut;

  1. Merchant Shipping (Central Mercantile Marine Fund) Rules 1984
  2. Kaedah-Kaedah Perkapalan Saudagar (Keanggotaan, Waktu Kerja & Pengawasan) 1999
  3. Kaedah-Kaedah Perkapalan Saudagar (Latihan & Perakuan) 1999
  4. Kaedah-Kaedah Perkapalan Saudagar (Pemeriksaan Perubatan) 1999

Walau bagaimanapun, tidak terdapat sebarang undang-undang bertulis yang secara langsung melindungi kepentingan pelaut Malaysia dari segi keutamaan untuk bertugas di atas kapal bendera Malaysia. Hal ini telah sekian lama menjadi polemik yang berpanjangan dalam isu berkaitan pelaut asing yang pernah mendominasi keanggotaan kapal-kapal Malaysia secara majoriti tidak lama dahulu.

Namun demikian, pindaan MSO yang mewujudkan Part IIA: The Domestic Shipping Licensing Board telah memberikan SEDIKIT sinar bagi pelaut Malaysia. The Domestic Shipping Licensing Board atau Lembaga Perlesenan Perkapalan Dalam negeri (LPPDN) adalah sebuah badan yang bertanggungjawab untuk mengawalselia aktiviti perkapalan domestik bertujuan untuk menjaga kepentingan pemain industri.

LPPDN bertanggungjawab mengeluarkan Lesen Perkapalan Dalam Negeri atau lebih dikenali sebagai DSL – Domestic Shipping License.

DSL1.png

Walaupun Part IIA dan DSL tersebut tidak secara langsung memberi keutamaan kepada pelaut Malaysia bagi menganggotai kapal Malaysia, namun LPPDN dengan kuasa yang diberikan melalui Seksyen 65D telah meletakkan syarat-syarat bagi pengeluaran DSL.

Merujuk kepada Laman Web Rasmi LPPDN, beberapa syarat berkaitan pelaut Malaysia telah disenaraikan sebagai kriteria pemberian DSL. Antaranya;

  1. Lesen Penuh (Tanpa Syarat) untuk tempoh 1 atau 2 tahun
    1. Pengambilan 75% kelasi warga Malaysia
  2. Bersyarat untuk tempoh lesen 1 tahun
    1. Pengambilan minimum seorang kelasi warga Malaysia
  3. Bersyarat untuk tempoh lesen 6 bulan
    1. Tiada kelasi warga Malaysia
  4. Sementara (Kapal Asing) untuk tempoh lesen maksimum 3 bulan
    1. Tiada syarat keanggotaan warga Malaysia

Pelaut Malaysia menyambut baik langkah-langkah yang telah diambil oleh LPDDN yang memberi keutamaan kepada pelaut Malaysia sebagai kriteria pengeluaran DSL. Namun demikian, perkara ini boleh ditambahbaik lagi.

Kita telah berada di tahun 2016, dan industri perkapalan di Malaysia telah berkembang maju sejak lebih 63 tahun dalam era moden perkapalan di Malaysia. Bukan sahaja berkembang dari segi jumlah dan tanan kapal serta pembangunan pelabuhan, aspek sumber manusia terutamanya pelaut telah turut membangun dengan pesat.

Fakta

  • Purata lebih 9500 pelaut tempatan baru mendaftar setiap tahun dari 2011-2015
  • 19334 Perakuan Kekompetenan telah dikeluarkan dari tahun 2010 hingga 2015
  • 22 Pusat Latihan Maritim swasta beroperasi menawarkan kursus STCW yang melahirkan pelaut-pelaut mahir dan kompeten

Oleh yang demikian, sudah tiba masanya diadakan suatu undang-undang di peringkat persekutuan, ataupun LPPDN sendiri boleh mengetatkan lagi kriteria pengeluaran DSL khususnya dari aspek keanggotaan pelaut Malaysia.

Dicadangkan;

  1. Secara berperingkat dalam tempoh 1 hingga 3 tahun, semua jenis DSL hendaklah mensyaratkan 100% kelasi warga Malaysia
  2. Pengambilan pelaut dari peringkat Pegawai turut dijadikan kriteria
  3. Secara berperingkat dalam tempoh 3 hingga 10 tahun, 60% keanggotaan pegawai warga Malaysia
  4. Mewajibkan kapal asing mengambil sekurang-kurang 2 orang pegawai dek untuk beroperasi di Malaysia.

Cadangan-cadangan ini mungkin mengambil masa untuk dipertimbangkan dan dikuatkuasakan (sepertimana MSMP masih tidak lagi dilancarkan). Oleh yang demikian, pelaut-pelaut Malaysia secara kolektifnya sedia bekerjasama untuk memberi bantuan kepada LPPDN untuk menguatkuasakan Seksyen 65I Revocation of License, seperti berikut;

The Board may revoke any license if it is satisfied that the licensee, his servant or agent has - 

(a) contravened any of the provisions of this Part or any regulations made thereunder, or

(b) committed a breach of any of the terms or conditions of the license:

Sepertimana yang diketahui, telah banyak kes yang ditimbulkan berkenaan kegagalan kapal untuk mematuhi syarat sepertimana yang direkodkan dalam DSL, terutamanya dari segi keanggotaan. Dalam banyak kes, pemohon lesen akan menyenaraikan lebih 75% kelasi warga Malaysia dalam Senarai Anak Kapal semasa membuat permohonan DSL, dan apabila DSL telah dikeluarkan, banyak pemegang lesen yang tidak mengekalkan syarat minimum keanggotaan yang telah ditetapkan.

Oleh itu, Pelaut Malaysia menyeru LPPDN dan agensi perlaksana untuk menguatkuasakan perkara ini bagi menjaga kepentingan pelaut Malaysia, selaras dengan slogan Perdana Menteri; Rakyat Didahulukan dan melindungi kerjaya pelaut yang sebahagiannya adalah kerjaya berpendapatan tinggi.