Group FB Komuniti Perkapalan Malaysia kerap menjadi pusat rujukan khususnya bagi pelaut-pelaut baru dan ahli keluarga mereka yang ingin mencari maklumat tentang peluang bekerja di kapal. Antara perkara yang selalu diajukan adalah tentang tawaran bekerja di atas kapal persiaran.

Terbaru, KPM menerima pertanyaan berkenaan sebuah syarikat yang memanggil bakal pelaut untuk menghadiri temuduga peringkat kedua. Dalam surat panggilan temuduga tersebut, dinyatakan juga bahawa calon perlu membayar RM 500 sekiranya lulus temuduga.

home-banner

BANGSAT apakah semua ini?

Sila baca juga; Ingin Bekerja Di Kapal? Bagaimana Mengelak Diri Dari Ditipu Oleh Ejen Recruitment Tidak Sah

Fakta

  1. Undang-undang Malaysia & antarabangsa melarang agensi recruitment untuk mengenakan bayaran kepada calon pelaut
  2. Biasanya, agensi recruitment yang dilantik oleh sesebuah syarikat perkapalan akan menerima bayaran perkhidmatan mereka daripada syarikat perkapalan tersebut, bukannya mengenakan bayaran kepada calon pelaut.
  3. Ada juga agensi recruitment yang cuba main bangsat untuk makan dua-dua belah. Mereka caj kepada syarikat perkapalan, dan mereka kutip juga bayaran daripada calon pelaut.
  4. Agensi recruitment akan bagi alasan bayaran tersebut adalah untuk bayaran pengurusan, bayaran latihan dan lain-lain, jangan percaya.
  5. Apabila anda bekerja di kapal persiaran dengan tugas sebagai chef, pekerja hotel dan sebagainya, anda dikira sebagai pelaut. Jadi, anda perlu lulus pemeriksaan perubatan sebagai pelaut terlebih dahulu. Jadi, jika anda dah bayar RM 500 (dan sebagainya) dan kemudiannya anda didapati tidak fit, habislah duit yang telah dibayar tadi.
  6. Untuk kerja di kapal, anda juga perlu ikuti kursus wajib seperti STCW Basic Training dan Security Awareness Training. Kursus-kursus ini hanya boleh diikuti di pusat latihan maritim yang diiktiraf oleh Jabatan Laut sahaja.
  7. Untuk kenalpasti syarikat bangsat yang menipu, biasanya mereka akan beroperasi seperti berikut
    1. Kalau hantar surat panggilan temuduga atau tawaran kerja, suratnya cacamarba. Kepala surat hitam putih, ayat dan susunan surat macam budak belum ambil UPSR
    2. Tukang tandatangan surat tak letak nama.
    3. Surat tiada tarikh. Tarikh akan diberi secara lisan melalui telefon.
    4. Alamat syarikat ada, tapi nombor telefon tiada.
    5. Hanya ada nombor telefon bimbit, tiada nombor talian tetap.
    6. Selalunya buat temuduga atau taklimat di tempat lain seperti hotel, tidak pernah buat di premis pejabat sendiri. Sebenarnya tiada pejabat, senang nak lari kalau dah kantoi.
    7. Bila buat bayaran, tiada resit dikeluarkan. Kalau ada resit pun, resit yang ditulis tangan yang boleh dibeli di kedai buku.
    8. Selalu guna third party untuk promosikan tawaran kerja, sebab mereka tiada staf sendiri. Susah nak kena tangkap kalau dah kantoi.
  8. TIPS untuk buat semakan. Tanya kepada agensi recruitment, apa nama syarikat perkapalan yang akan beri tawaran kerja. Syarikat penipu biasanya teragak-agak untuk beri nama syarikat. Ada yang cakap maklumat sulit, tak boleh beritahu. Kadang-kadang agensi recruitment akan petik nama syarikat perkapalan yang terkenal. Jadi, sila hubungi syarikat tersebut dan buat semakan.
  9. Fasa berikutnya dalam operasi penipuan akan bermula selepas tamat temuduga. Ketika ini, calon akan diminta untuk sediakan bayaran yang lebih besar, antara RM 3500 hingga RM 20000 untuk hadiri latihan/kursus. Tempoh kursus kadang-kadang tak masuk akal, hanya 2 hari dengan bayaran beribu-ribu. Kalau tempoh panjang, untuk kaburi calon supaya nampak real.
  10. Latihan/kursus dibuat macam real, siap dapat uniform macam kapten kapal. Biasanya calon akan dilatih dalam tugas seperti waiter, bartender, housekeeping dan sebagainya.
  11. Walaupun calon dah ada diploma atau ijazah dalam bidang perhotelan dan katering, wajib juga untuk bayar dan masuk kursus. Kononnya kursus itu untuk persediaan bagi kerja di kapal persiaran nanti. Kalau tak masuk kursus, tak boleh naik kapal.
  12. Selepas tamat kursus, calon akan diarahkan untuk standby, tunggu panggilan untuk naik kapal. Masa inilah permainan paling bangsat akan bermula. Contohnya, agensi recruitment akan beritahu kapal belum ada kosong lagi. Padahal masa masuk temuduga mereka beri jaminan akan dapat kerja serta merta selepas tamat kursus.
  13. Ada agensi yang lagi bangsat, apabila hampir hendak pecah tembelang, mereka akan keluarkan surat tawaran palsu kononnya dari syarikat perkapalan. TAPI, dalam tawaran tersebut, perlu naik kapal di AMERIKA SYARIKAT, DAN PERLU BELI TIKET KAPALTEBANG SENDIRI, yang kadang-kadang mencecah sampai RM 10000. Calon jadi tersepit sebab duit dah banyak habis untuk masuk kursus, akhIrnya terpaksa lepaskan tawaran dan kerjalah di hotel masa bankuet.
  14. Pernah terjadi, apabila agensi recruitment dah kehabisan modal untuk beri alasan, mereka akan keluarkan surat palsu, kononnya syarikat perkapalan tolak permohonan calon pelaut tadi walaupun dah masuk kursus. Alasan bodoh yang akan diberi seperti tak cukup handsome, mata tak cantik, tak cukup tinggi, MUET Band 1 sahaja, Donald Trump tak bagi masuk US dan sebagainya. Lebih malang, tiada alasan diberikan. Kenapa tak reject awal-awal semasa temuduga?

PASTI ada pihak yang akan melenting dan naik marah dengan pendedahan ini. Kononnya Perkapalan Malaysia dengki dan irihati dengan peluang yang mereka dapat. Tapi percayalah, sudah ramai yang terkena, sudah ramai yang tertipu, tetapi ramai juga yang tidak tampil ke hadapan buat laporan. Mungkin sebab malu kerana diperbodohkan, dan mungkin juga sudah tebal muka kerana sebelum ini tidak hiraukan nasihat keluarga dan sahabat.

Tidak dinafikan ramai yang telah berjaya, sudah dapat gaji beribu-ribu USD, dan balik Malaysia bertambah kaya sebab RM semakin menjunam. Tapi fikirkanlah, gunakanlah saluran yang betul untul elak risiko ditipu.

Antara saluran yang betul adalah;

RATU OCENIA RAYA – Agensi Recruitment yang berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia

POLARIS MARITIME TRAINING ACADEMY (Alor Setar)- Pusat Latihan Maritim yang berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia. Pusat ini membekalkan pelaut terlatih secara terus kepada syarikat perkapalan termasuklah kapal persiaran.