1. Pertama, jangan panik dan jangan mencetuskan huru-hara di kapal. Kapten Kapal, malah pihak crewing juga adalah pekerja yang digaji majikan dan mereka juga terpaksa menjalankan arahan yang diberikan.
  2. Pastikan segala dokumentasi adalah teratur. Dapatkan salinan Perjanjian Anak Kapal (Sign Off) yang telah ditandatangan oleh Kapten Kapal. Ini bagi memastikan pelaut telah dilepaskan daripada senarai anak kapal dan tidak mempunyai masalah untuk sign on ke kapal lain.
  3. Rujuk semula Seafarer Employment Agreement (SEA),  yang ditandatangan sebelum sign on. *Ada syarikat yang menamakan perjanjian ini dengan nama lain seperti Letter of Employment, Letter of Appointment dan sebagainya.
  4. Cari bahagian dalam perjanjian itu, berkenaan syarat bagi pemberhentian kerja / termination of employment.
  5. Kebiasaannya, dalam syarat pemberhentian kerja, mana-mana pihak, sama ada majikan atau pekerja, perlu memberi notis dalam tempoh yang ditetapkan sebelum seseorang pekerja itu boleh diberhentikan.
  6. Kebiasaannya juga, jika majikan atau pekerja tidak boleh memenuhi syarat tempoh notis, mana-mana pihak, majikan (yang memberhentikan pekerja lebih awal dari tempoh notis) atau pekerja (yang memohon berhenti lebih awal dari tempoh notis), perlu membayar sejumlah pampasan.
  7. Contoh 1; Delta Maritime Sdn Bhd (DMSB) telah ditamatkan kontrak perkhidmatan crew boat dengan syarikat minyak Ezzo. Untuk mengurangkan bebanan syarikat, DMSB terpaksa menukarkan krew sedia ada dengan krew lain yang lebih rendah gajinya sepanjang tempoh ketiadaan projek. Mengikut perjanjian, jika kontrak krew perlu ditamatkan lebih awal, DMSB perlu memberi notis selama 30 hari. Oleh itu, pihak crewing DMSB telah memberikan notis penamatan kontrak kepada semua krew pada 1 April 2016, dan berkuatkuasa pada 1 Mei 2016. Dalam kes ini, DMSB tidak perlu membayar apa-apa pampasan kepada semua krewnya kerana perjanjian telah dipatuhi.
  8. Contoh 2; Flag Ship Sdn Bhd (FSSB) telah mendapat kontrak baru bagi perkhidmatan feeder container. Bagi memenuhi syarat kontrak barunya, FSSB perlu menukar 10 orang krew sedia ada dengan krew baru. Mengikut perjanjian, notis pemberhentian pekerja perlu diberikan dalam tempoh 2 bulan. Walau bagaimanapun, bagi memenuhi syarat kontrak dengan segera, kesemua 10 krew tersebut hanya diberikan notis pemberhentian selama 2 minggu. Dalam kes ini, FSSB perlu membayar pampasan kepada 10 krew tersebut sebanyak 6 minggu gaji, memandangkan notis hanya diberikan selama 2 minggu, berbanding syarat dalam perjanjian iaitu 2 bulan notis.
  9. Contoh 3; Gulf Sea Service Bhd (GSSB) sedang melaksanakan langkah rasionalisasi syarikat. Salah satu keputusan drastik adalah dengan memberhentikan krew kapal yang melebihi jumlah minimum dalam safe manning. Hasilnya, 7 orang krew dari 3 kapal telah diberikan notis berhenti kerja serta-merta sebaik kapal tiba di pelabuhan. Mengikut perjanjian, GSSB berhak memberikan notis serta-merta dan tidak perlu memberikan sebagai sebab dan pampasan. Dalam kes ini, pekerja yang diberhentikan tidak boleh menuntut apa-apa pampasan, kerana mereka telah bersetuju dengan perjanjian yang ditandatangan sebelum sign on, walaupun perjanjian itu berat sebelah.
  10. JIKA majikan tidak mematuhi perjanjian, seperti memberikan notis singkat dan tidak membayar pampasan, pekerja (pelaut) berhak membuat tuntutan.
    • Tulis surat atau emel kepada syarikat, untuk mematuhi perjanjian dan membuat tuntutan pampasan. Jika tidak berhasil;
    • Jika anda adalah ahli mana-mana persatuan pelaut (seperti IKMAL), anda boleh mendapatkan bantuan persatuan untuk mewakili anda bagi membuat tuntutan. Jika tidak berhasil;
    • Buat aduan rasmi kepada Unit Pembangunan Pelaut, Bahagian Hal Ehwal Pelaut & Pelabuhan, Jabatan Laut Malaysia; atau mana-mana Pejabat Laut berdekatan. Atau;
    • Buat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK). JTK akan menghubungi majikan, atau jika majikan keras kepala, JTK boleh merujuk kes kepada Mahkamah Perindustrian.
  11. Berikut adalah contoh kes yang telah berjaya diselesaikan.
    • Seorang Chief Engineer telah diarah sign off selepas 20 hari on board, kerana terdapat perselisihan faham dengan Technical Manager. Akibat tidak berpuas hati, Chief Engineer tersebut membuat laporan kepada IKMAL, dan setelah diteliti, kes tersebut dirujuk kepada JTK, kemudiaannya kepada Mahkamah Perindustrian. Hakim telah mengarahkan syarikat untuk membayar gaji penuh mengikut tempoh kontrak asal iaitu 3 bulan, dan syarikat diarah memohon maaf secara rasmi kepada Chief Engineer tersebut.
  12. Bagi memastikan hak pelaut terjaga, terutamanya dalam kes-kes seperti ini;
    • Pelaut dinasihatkan untuk memastikan segala dokumen, terutamanya salinan Perjanjian Anak Kapal (Sign On & Sign Off) serta salinan Seafarer Employment Agreement (SEA) disimpan dengan baik.
    • Jika pelaut diberhentikan secara tidak sah, perjuangkan hak anda. Jangan berdiam diri, atau sekadar membuat tular dalam Facebook sahaja. Dapatkan bantuan daripada persatuan pelaut yang anda sertai!