Memberhentikan pelaut dan menghantar mereka pulang (sign off) dengan segera bukan perkara mudah. Ada banyak faktor yang memaksa pihak crewing untuk membuat keputusan sedemikian. Selain itu, crewing juga berhadapan pelbagai risiko yang perlu diurus apabila memberhentikan seseorang pelaut yang belum tamat kontrak.

Risiko-risiko yang sering dihadapi apabila notis pemberhentian dihantar lebih awal ke kapal sebelum kapal tiba di pelabuhan;

  1. Pelaut terlibat berasa kecewa dan tidak menjalankan tugas mengikut jadual
  2. Pelaut terlibat berasa marah dan mensabotaj kapal dari pelbagai sudut
  3. Pelaut terlibat berasa berang dan berbalah dengan pegawai atasan di atas kapal
  4. Dan sebagainya

Sehubungan itu, pihak crewing seringkali memberikan notis pemberhentian sebaik kapal tiba di pelabuhan, dan lazimnya notis diberikan adalah notis singkat atau serta-merta, yang membawa pelbagai implikasi lain yang selalunya akibat tidak mematuhi syarat dalam perjanjian pekerjaan atau Seafarer Employment Agreement (SEA).

(Baca di SINI berkenaan syarat notis pemberhentian yang lazim dalam perjanjian pekerjaan pelaut)

Crewing biasanya tiada pilihan lain selain notis singkat, bagi mengurangkan risiko seperti yang dibincangkan awal tadi. Selain itu, pemberhentian pelaut lazimnya akibat masalah disiplin, dan pihak pengurusan biasanya inginkan pelaut tersebut dihantar pulang as soon as possible, serta tidak ingin membayar sebarang pampasan kerana faktor disiplin itu datangnya dari pelaut, bukan majikan.

Jadi, apa yang pihak crewing boleh lakukan untuk melindungi syarikat mereka?

  1. Walau apa pun faktor yang menyebabkan pelaut diberhentikan, termasuklah masalah disiplin, pihak crewing perlu mematuhi syarat yang ditetapkan dalam perjanjian pekerjaan, termasuklah tempoh notis dan gantian pampasan jika notis diberikan lebih singkat.
  2. Dapatkan laporan daripada Kapten Kapal berkenaan masalah disiplin pelaut terlibat, dan arahkan juga laporan yang sama dicatatkan dalam Buku Log Rasmi.
  3. Jika perlu, majukan laporan tersebut ke Unit Pembangunan Pelaut, Bahagian Hal Ehwal Pelaut & Pelabuhan, Jabatan Laut Malaysia; atau mana-mana Pejabat Pelabuhan. Kes-kes yang serius akan dihadapkan ke Jawatankuasa Khas, yang boleh menyebabkan tindakan disiplin dikenakan kepada pelaut termasuk catatan dalam rekod peribadi pelaut.
  4. Rujuk Buku Log Rasmi / Perjanjian Anak Kapal. Dalam Lampiran 2, disenaraikan kesalahan-kesalahan pelaut yang boleh dikenakan hukuman denda. Prosedur hukuman adalah seperti berikut;
    1. Apabila pelaut didapati melakukan kesalahan, dan Kapten Kapal berpendapatan hukuman harus dijalankan, Kapten Kapal atau wakilnya, hendaklah melaporkan kesalahan tersebut kepada Pegawai Pelabuhan tempat Perjanjian Anak Kapal dibuka, atau mana-mana pelabuhan tempat kapal berlabuh.
    2. Wakil tersebut termasuklah Designated Person Ashore (DPA), wakil daripada syarikat (owner’s representative), pegawai kapal yang diberikan kuasa (duly authorize ship officer) ataupun ejen.
    3. Setelah diteliti, dan dipersetujui oleh Pegawai Pelabuhan, kadar denda yang ditetapkan hendaklah dibayar oleh syarikat kepada Pejabat Pelabuhan, dan Resit Rasmi Kerajaan akan dikeluarkan.
    4. Berdasarkan amaun denda yang telah dibayar oleh pihak syarikat, amaun yang sama perlu ditolak daripada baki gaji pelaut yang melakukan kesalahan tersebut.

Lampiran 2 – Perjanjian Anak Kapal – Bagi Kapal-Kapal Bendera Malaysia

Kesalahan (Denda)

  1. Tidak melapor diri ke kapal pada masa yang ditetapkan (2 hari gaji)
  2. Tidak balik ke kapal pada waktu ditetapkan selepas shore leave (2 hari gaji)
  3. Mengguna bahasa biadap atau menhina kapten kapal atau pegawai (2 hari gaji)
  4. Memukul atau menyerang seseorang di atas kapal (2 hari gaji)
  5. Bergaduh atau menghasut (1 hari gaji)
  6. Menyumpah atau guna bahasa kesat (1 hari gaji)
  7. Membawa atau memiliki minuman keras (3 hari gaji)
  8. Membawa senjata api, tajam, keras atau merbahaya tanpa kebenaran kapten kapal (1 hari gaji bagi setiap hari senjata  dibawa)
  9. Mabuk – kesalahan pertama (1 hari gaji)
  10. Lalai dalam tugas dengan sengaja, seperti sengaja tidak hadir watch, dan tidak patuh arahan kapten kapal atau pegawai (2 hari gaji)
  11. Tidur atau cuai semasa bertugas di bridge (7 hari gaji)
  12. Tidak lights off / pipe down pada waktu ditetapkan (1 hari gaji)
  13. Merokok di tempat larangan (2 hari gaji)
  14. Untuk tukang masak – tidak menyajikan makanan pada masa yang ditetapkan (1 hari gaji)
  15. Menyembunyikan barang-barang seludup di kapal dengan niat untuk menyeludup (30 hari gaji)
  16. Memusnah atau merenyuk salinan perjanjian anak kapal (2 hari gaji)
  17. Tidak hadir tanpa cuti (2 hari gaji bagi setiap hari tidak hadir)
  18. Bersubahat untuk; tidak mematuhi perintah semasa bertugas, cuai dengan sengaja, menyebabkan pelayaran kapal sendiri atau kapal lain terhalang (2 hari gaji)