Assalamualaikum w.b.t.

Yang Berbahagia Datuk Wira Hj Wan Mohd Nor bin Hj Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia.

Yang Berbahagia Datuk,

Pertamanya, walaupun sedikit terlewat, PerkapalanMalaysia.Com ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Anggota Bomba Sedunia pada 4 Mei lalu.

Merujuk kepada cadangan yang diutarakan di atas; berikut adalah kupasan mengenai cadangan berkenaan;

  1. Pelaut wajib mengikuti kursus asas melawan kebakaran;
    • Modular Fire Prevention & Fire Fighting (1 hari), sebahagian daripada kursus Basic Training. Kursus meliputi subjek pencegahan kebakaran, pengetahuan asas berkenaan alat pemadam api mudah alih, asas pengendalian hos, radas pernafasan serta latihan amali
    • Modular Advanced Fire Fighting (3 hari). Kursus meliputi subjek pengurusan alat melawan kebakaran, serta latihan amali memadam kebakaran dalam pelbagai ruang, latihan menyelamat di ruang tertutup, dan pelbagai latihan kawalan kerosakan serta melawan api pelbagai kelas (kebakaran minyak, gas, elektrik dan sebagainya)
  2. Latihan yang diikuti adalah latihan standard antarabangsa iaitu Standard of Training, Certification & Watchkeeping (STCW)
  3. Memang diakui latihan yang dilalui adalah asas dan sangat singkat. Namun demikian, ketika bertugas di kapal, pelaut akan mengikuti latihan (drill) melawan kebakaran dan menyelamat setiap bulan, malah ada pengurusan kapal yang mewajibkan latihan melawan kebakaran diadakan setiap minggu.
  4. Oleh yang demikian, pelaut merupakan satu kumpulan separa terlatih dalam bidang menyelamat dan melawan kebakaran.
  5. Pelaut lazimnya bercuti (sign off) untuk tempoh panjang, antara sebulan ke 4 bulan, bergantung kepada kontrak bersama majikan. Tempoh yang cukup panjang ini membolehkan pelaut untuk memberi komitmen sekiranya menyertai perkhidmatan Pegawai Bomba Bantuan (PBB).
  6. Pihak JBPM boleh berbincang dengan lebih lanjut dengan Jabatan Laut Malaysia untuk meneruskan idea ini. Skim latihan dan perkhidmatan yang lebih sesuai boleh direncanakan untuk menyesuaikan pelaut unutk berkhidmat sebagai PBB.
  7. Bagi pelaut pula, mereka boleh meraih pelbagai kelebihan dengan menyertai perkhidmatan PBB, antaranya;
    • Memperoleh pendapatan ketika bercuti melalui elaun yang ditawarkan
    • Mendapat pengalaman berharga dalam situasi menyelamat dan melawan kebakaran
    • Nilai tambah dalam resume
  8. Semoga lontaran idea ini boleh diperhalusi lagi untuk kepentingan semua pihak.

Sekian, terima kasih.

PerkapalanMalaysia.Com 2017