Pelayaran Julang Jalur Gemilang (PJJG) adalah satu projek ekspedisi belayar mengelilingi dunia untuk memecahkan rekod pelayaran terpantas bagi kategori jentera pelayaran bermotor. Ketika ini, rekod dipegang oleh pelayar dari New Zealand dengan tempoh masa 60 hari, 23 jam dan 49 minit.

Mengapa projek ini terpaksa merayu ihsan rakyat awam bagi mendapatkan dana secara crowdfunding?

Baca kisah mereka di SINI

Dengan melihat dari perspektif korporat, penaja inginkan suatu pulangan daripada tajaan yang diberikan. Penaja juga inginkan kepastian bahawa projek yang dirancang berpotensi untuk mencapai objektif, serta diuruskan dengan teratur. Selain itu, pelaksana projek perlu berkongsi perancangan yang betul-betul lengkap bagi menjayakan projek.

Projek yang tiada perancangan yang lengkap; adalah projek yang merancang untuk gagal.

Oleh itu, berikut adalah beberapa sebab yang memungkinkan mengapa PJJG mendapat sambutan dingin daripada penaja korporat.

  1. Tidak mempunyai laman web khusus, atau sekurang-kurangnya laman blog rasmi, hanya bergantung kepada laman Facebook sahaja.
  2. Tidak memaparkan lukisan teknikal atau ilustrasi bot yang akan digunakan dengan baik, hanya sekadar lakaran sahaja. Penaja perlukan kepastian mengenai teknikaliti bot bagi pastikan projek boleh mencapai objektif.
  3. Sasaran rekod alternatif / tambahan iaitu rekod menyeberangi Lautan Pasifik dengan bot kurang 15 meter terpantas tidak dikongsi dengan jelas dan meluas.
  4. Teknikaliti dalam cubaan memecahkan mana-mana rekod tidak dikongsi dengan jelas.
  5. Keupayaan bot untuk mengharungi lautan luas pada kelajuan yang diperlukan tidak dinyatakan secara teknikal dan jelas.
  6. Hanya barisan krew bot yang dikongsikan. Pasukan pengurusan dan logistik tidak dapat dikenalpasti. Keupayaan pengurusan (command center), komunikasi dan logistik adalah penting untuk ekspedisi seumpama ini.
  7. Tidak berkongsi siri-siri latihan yang terkini terutamanya di lautan terbuka dan menggunakan bot yang akan digunakan untuk eskpedisi.
  8. Ketidakpastian tentang pematuhan syarat lain oleh Union Internationale Motonautique-UIM (badan antarabangsa bertanggungjawab menyelia sukan dan rekod pelayaran) seperti sanction daripada badan sukan tempatan yang bernaung di bawah UIM. (Kemaskini pada 9/10 Mei, PJJG akan bermesyuarat dengan PESUAM, persatuan tempatan di bawah naungan UIM)
  9. Tiada pakej penajaan menarik yang mungkin menarik minat penaja korporat
  10. Tidak mengambil peluang program seperti Ekspresi Negaraku, sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-60, yang mana memungkinkan tajaan dan sokongan lebih padu daripada sektor kerajaan.

Walau bagaimanapun, PerkapalanMalaysia.Com tetap menyokong usaha gigih pasukan PJJG dan akan menjadi ‘media atas talian tidak rasmi’ untuk ekspedisi mereka. Semoga pasukan PJJG berjaya mengumpul dana yang mencukupi untuk meneruskan ekspedisi mereka mengikut jadual yang telah dirancangkan.