Menghadapi Kematian Anak Kapal

Oleh Wan Hashim Wan Daud, Chief Officer

Mati tidak mengenal masa, tempat dan keadaan. Selama 30 tahun dalam kerjaya mencabar ini, salah satu pengalaman sedih dan mengejutkan adalah apabila ada kematian berlaku di atas kapal.

Pertama kali ketika dalam pelayaran dari Brisbane, Australia ke Los Angeles, Amerika Syarikat. Pada satu pagi, ketika kapal hampir melewati Hawaii, dalam keadaan cuaca  dan ombak yang ganas, kami dikejutkan oleh berita kehilangan seorang Greaser. Pagi itu pada jam 4 , greaser berkenaan tidak turun ke bilik enjin untuk bertugas. Masing-masing mengandaikan segalanya baik, mungkin beliau hanyalah demam atau mabuk laut.

Ketika sudah jam 8 pagi, beliau masih lagi tidak kelihatan ketika waktu sarapan pagi. Maka rakan-rakan sekapal mengetuk pintu biliknya, tetapi tiada juga jawapan. Apabila pintu dibuka didapati porthole telah terbuka. Setelah dicari di serata tempat di kapal, maka diandaikan beliau mungkin terjatuh, atau telah terjun ke dalam laut setelah meninggalkan biliknya melalui porthole.

Kapal pun berpatah balik, namun tak juga berjumpa tanda-tanda beliau selamat, tambahan keadaan cuaca memang buruk. Terpaksalah kapal meneruskan pelayaran. 

Kali kedua saya hampir sekali menghadapi pengalaman yang sama ialah pada tahun 2001 Seorang Ordinary Seaman (OS) baru saja mula bertugas di kapal pertama. Pada hari pertama, OS tersebut sudah mula menunjukkan tanda yang tak elok. Sewaktu pemeriksaan mingguan, beliau tiada di bilik. Apabila dicari, rupanya beliau tingggal di Owner Cabin tanpa kebenaran. Selepas itu beliau kerapkali menunjukkan perangai yang kurang baik

Selepas beberapa bulan, saya pun sign off. Suatu hari saya dapat pengkhabaran dari pejabat, mengatakan OS itu hilang di Selat Karimata, Indonesia. Berkemungkinan besar beliau terjun laut, kerana mereka terjumpa sandalnya di haluan kapal. 

Kali ketiga ialah semasa pelayaran dari Port Kamsar, Guinea, West Afrika ke San Nicholas, Greece dalam bulan November 2002. Seorang Catering Officer meninggal  dunia semasa berehat di dalam biliknya. Arwah memang menghidap penyakit darah tinggi dan diabetes. Beliau memaklumkan ketika itu beliau kurang sihat, jadi ingin berehat di bilik. Pada jam 8 malam salah seorang anak kapal pergi ke biliknya untuk mengajak beliau makan malam, tetapi tiada jawapan apabila pintu bilik diketuk.

Setelah pintu dibuka dengan master key yang diperolehi dari saya, didapati Catering Officer berkenaan sudah meninggal dunia.

Untuk sampai ke San Nicholas mengambil masa 2 hari lagi. Setelah pihak pengurusan dimaklumkan, kami uruskan jenazah; mandi jenazah, sembahyangkan dan simpan dalam cold room kapal, tempat kami menyimpan bahan makan sejukbeku. 

Itu semua urusan Allah, Dia yang tetapkan di mana, dan bila kita semua akan mati.

Wallahualam.



Kategori:Uncategorized

%d bloggers like this: