Hebahan

Menteri Sumber Manusia, Boleh Bantu Pelaut Malaysia?

Kepada,
YB Menteri Sumber Manusia

Salinan Kepada,
YB Menteri Pengangkutan

Yang Berhormat-Yang Berhormat,

ISU LAPUK LAMBAKAN PELAUT ASING DI ATAS KAPAL BENDERA MALAYSIA

(Karangan ini adalah sempena Sambutan Hari Pelaut yang diraikan pada 25 Jun di seluruh dunia. Sambutan peringkat Malaysia pada tahun ini akan diadakan di Wisma Pelaut Pasir Gudang)

  1. Pertamanya, saya terpanggil untuk menulis tentang isu pelaut asing di Malaysia kepada Menteri Sumber Manusia berikutan tindakan drastik kementerian berkaitan isu tukang masak asing.
  2. Walaupun undang-undang dan peraturan berkaitan Pelaut Malaysia terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Laut Malaysia, sekurang-kurangnya kedua-dua menteri ini boleh sama-sama berbincang bagi menambahbaik keadaan yang sedang melanda Pelaut Malaysia.

FAKTA

  1. Daripada 2011 sehingga Mei 2018, sebanyak 56,082 pelaut asing telah berkhidmat di atas kapal bendera Malaysia (Malaysian Flagged Vessel). Bagi tempoh yang sama, daripada 56,082 pelaut asing yang berkhidmat tersebut, 49,762 atau 88.7% merupakan mereka yang menjawat jawatan pegawai dek/navigasi dan jurutera.
  2. Jika dibandingkan dengan pelaut Malaysia, jumlah pendaftaran baru pelaut Malaysia bagi tempoh yang sama adalah sebanyak 61,907 orang. Walaupun jumlah yang didaftarkan ini ramai, angka tersebut termasuklah perantis dan kadet yang baru sahaja memulakan kursus dan latihan di darat, dan angka tersebut tidak mencerminkan jumlah pelaut Malaysia yang telah di ambil bekerja.
  3. Berbanding jumlah pendaftaran pelaut asing, boleh dikatakan 99.9% daripada jumlah pendaftaran pelaut asing sebanyak 56,082 orang itu adalah mereka yang telah ditawarkan pekerjaan, yang menjadi prasyarat bagi pendaftaran pelaut asing.
  4. Institut Maritim Malaysia (MIMA) pernah membuat kajian berkenaan pengaliran keluar wang akibat lambakan pelaut asing di Malaysia yang dianggarkan mencecah berbilion ringgit setahun.

PERANAN LPPDN

  1. Lembaga Perlesenan Perkapalan Dalam Negeri (LPPDN) merupakan satu-satunya badan yang mempunyai kuasa untuk menentukan syarat keanggotaan kapal, itupun secara tidak langsung melalui syarat yang dikenakan bagi pengeluaran Lesen Perkapalan Dalam Negeri atau Domestic Shipping License (DSL).
  2. Bagi kapal yang mengambil 75% kelasi Malaysia (Malaysian Rating) dalam keangotaan kapal, dan patuh syarat-syarat lain, DSL selama 1 atau 2 tahun akan dikeluarkan. Manakala kapal yang tidak mengambil walau seorang kelasi Malaysia masih lagi diberikan DSL, namun untuk tempoh yang lebih pendek iaitu 6 bulan.
  3. Sudah tiba masanya syarat tersebut ditambahbaik dengan pengenaan syarat keangotaan pelaut Malaysia yang lebih ketat. Bukan sahaja melibatkan Kelasi Malaysia, malah pengambilan Pegawai Dek & Jurutera Marin Malaysia juga harus menjadi prasyarat dalam pengeluaran DSL.

PERKASAKAN PELAUT MALAYSIA

  1. Era perkapalan moden di Malaysia telah memasuki usia 65 tahun (berdasarkan ulangtahun pewartaan Merchant Shipping Ordinance 1952), dan era pelaut moden Malaysia boleh dikatakan bermula pada 1976 apabila MATES Foundation (kini ALAM) ditubuhkan. Pada usia yang boleh dikatakan sudah cukup matang ini, mengapa perlu lagi kebergantungan pelaut asing terutamanya kelasi daripada negara luar, lebih-lebih lagi bagi kapal yang beroperasi di perairan Malaysia.
  2. Industri perkapalan terutamanya bagi had pelayaran domestik dan pesisiran pantai sepatutnya sudah mencapai satu tahap sara diri yang penuh bagi hal keanggotaan warga tempatan. Pemilik kapal perlu bekerjasama, dan diberikan insentif sewajarnya bagi menjayakan aspirasi ini.
  3. Dengan hampir 30 institusi awam dan swasta yang menawarkan latihan untuk bakal pelaut, kapal-kapal Malaysia sepatutnya susah dianggotai oleh 100% Kelasi Malaysia.
  4. Malaysia Shipping Master Plan (MSMP) yang dimulakan pada penghujung pentadbiran BN sebelum ini, yang turut meletakkan pelaut sebagai salah satu kluster utama yang akan dibangunkan, nampaknya sepi tanpa sebarang perkembangan positif.
  5. Tanpa program peringkat nasional dalam pembangunan pelaut yang menyeluruh, tred pelaut akan terus terumbang-ambing pada dekad akan datang, jika terus bergantung kepada program-program mikro yang dibangunkan secara sendiri oleh syarikat perkapalan, yang tidak berintegrasi penuh dengan industri dan penyedia latihan.

KOS LATIHAN YANG TINGGI DAN KEMUDAHAN KAPAL UNTUK LATIHAN LAUT YANG TERHAD

  1. Pindaan terhadap Konvensyen Standard of Training, Certification and Wacthkeeping for Seafarer (SCTW) yang ektensif melalui Pindaan Manila 2010 menyaksikan pelbagai jenis persijilan dan latihan yang telah diwajibkan ke atas pelaut sebelum ini, perlu pula diperbaharui mengikut tempoh yang ditetapkan. Ini memberi kesan langsung kepada pelaut yang terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi menghadari latihan semula (refresher course).
  2. Keadaan ekonomi perkapalan yang merundum akibat ketidakstabilan harga minyak turut menyebabkan sesetengah syarikat perkapalan yang secara tradisinya akan menaja kos latihan dan kursus pelaut turut mengecilkan belanjawan latihan mereka. Bayangkan seorang pegawai dek perlu berbelanja hampir RM 20,000 setiap 5 tahun untuk menghadiri latihan semula.
  3. Bagi perantis dan pegawai kadet yang baru sahaja melangkah masuk ke dunia pengangkutan maritim, mereka juga terkesan dengan lebih teruk. Institusi Latihan Maritim terulung di Malaysia iaitu Akademi Laut Malaysia (ALAM) dikatakan bergelut untuk mendapatkan jumlah ideal pegawai kadet bagi tahun pengajian 2018-2020, memandangkan syarikat perkapalan utama seperti MISC & AET yang telah mengecilkan jumlah pegawai kadet yang akan ditaja.
  4. ALAM bekerjasama dengan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (Malaysia Shipowner Association-MASA) pada awal 2018 mengumumkan bahawa PTPTN telah meluluskan skim pinjaman penuh kepada pegawai kadet ALAM, yang mana jika tidak diperhalusi dengan sempurna (sepertimana yang sedang berlaku sekarang), pegawai-pegawai kadet ini akan berhutang hampir RM 100,000 dalam suasana mereka belum pasti dapat menamatkan pengajian, kerana kemudahan kapal untuk latihan wajib fasa laut yang terhad.

Sertai IKHTISAS KELAUTAN MALAYSIA (IKMAL)

PERLUNYA SOKONGAN MENTERI

  1. Pada zaman Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-4, beberapa inisiatif telah digerakkan ke arah pengwujudan Malaysia sebagai Negara Maritim. Walau bagaimanapun, tred Pelaut kerapkali dipandang sebagai miscellaneous dalam mana-mana program Pembangunan industry maritim, termasuklah pada peringkat awal MSMP .
  2. Pelaut Malaysia bukan calang-calang hebatnya. Ketika ini pun, bukan sedikit yang berkhidmat sebagai Pegawai Dek & Jurutera di syarikat-syarikat perkapalan asing di seluruh dunia. Pelaut Malaysia bukan jaguh kampong, banyak juga kapal-kapal di North Sea yang dikendalikan Pelaut Malaysia dalam persekitaran mencabar yang asing bagi mereka.
  3. Namun demikian, untuk membangunkan pelaut yang kompeten, perlu disokong oleh industri dengan kapasiti mereka yang memiliki kapal yang mewajarkan pelaut untuk mendapatkan pengalaman. Tetapi jika kapal-kapal yang beroperasi di perairan Malaysia sendiri dikendalikan oleh pelaut asing, maka peluang berharga untuk mendapatkan pengalaman itu tidak dapat dinikmati oleh pelaut Malaysia.
  4. Jabatan Laut Malaysia (JLM) tidak harus dipersalahkan dalam hal ini, sebaliknya JLM perlu diperkasakan. JLM adalah agensi boutique dan organik yang mempunyai peranan besar dan telah beraksi cemerlang. Sebuah agensi penting yang diterajui ketua jabatan dengan gred JUSA B, bahkan pengarah-pengarah wilayah (contoh; wilayah utara merangkumi negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah & Perlis) hanyalah pegawai gred AL54., sedangkan pengetua sekolah pun sudah memegang gred JUSA C.
  5. Unit Pembangunan Pelaut, sebuah unit di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelaut & Pelabuhan, diketuai pegawai gred AL48 dan hanya mempunyai pegawai daripada kumpulan professional seramai 2 orang, dan bertanggungjawab kepada aspek pembangunan pelaut di seluruh Malaysia.
  6. Walaupun perolehan hasil JLM mungkin tidak sebesar agensi kerajaan yang lain, JLM sebenarnya sebuah agensi underdog yang menyumbang kepada pembangunan negara secara tidak langsung dengan memastikan keselamatan pelayaran dan kecekapan sistem pengangkutan laut.

Yang Berhormat-Yang Berhormat,

  1. Besar sekali harapan seluruh warga Pelaut Malaysia agar isu lapuk ini dapat diberikan perhatian terutamanya oleh YB Menteri Pengangkutan, dengan kerjasama erat YB Menteri Sumber Manusia yang bertanggungjawab terhadap golongan pekerja di seluruh negara.
  2. YB-YB bolehlah mendapatkan maklumat dari setiap sudut, termasuklah daripada persatuan-persatuan pelaut terutamanya Ikhtisas Kelautan Malaysia (IKMAL) yang juga merupakan ahli tripartite dalam perlaksanaan Konvensyen Buruh Maritim (MLC 2006) di peringkat Malaysia.
  3. Perhatian dan pertimbangan hali-ahli yang berhormat berkenaan perkaraan ini amatlah dihargaI

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,

AHMAD BADRI BIN ALWI

Aktivis Pelaut Malaysia

Pengasas & Moderator, Komuniti Perkapalan Malaysia

Editor, PerkapalanMalaysia.com

Ahli Majlis, Ikhtisas Kelautan Malaysia (IKMAL)*

24 Jun 2018

*Pendapat peribadi, tidak mewakili organisasi

 

Advertisements

Kategori:Hebahan