Hebahan

Pendaftaran Penumpang Feri, Apa Masalahnya?

Pada 3 Ogos lepas, akhbar Harian Metro melaporkan berita berkenaan penumpang feri yang tidak mendaftarkan butiran peribadi mereka sebelum menaiki feri.

Baca laporan tersebut di www.hmetro.com.my

Mengikut laporan tersebut, rata-rata penumpang yang tidak mendaftar adalah penumpang rakyat tempatan, berbanding penumpang warga asing yang lebih berdisiplin.

Keperluan mendaftar sebagai penumpang feri adalah bagi memastikan penumpang dapat membuat tuntutan insurans dengan lebih mudah sekiranya berlaku sesuatu kejadian, dan juga bagi memastikan senarai penumpang yang lengkap dapat diperolehi oleh pihak berkuasa terutamanya dalam situasi kecemasan.

Laporan Harian Metro tersebut adalah berdasarkan tinjauan yang dibuat di jeti Kuala Perlis dan Kuala Kedah, bagi perjalanan feri ke Langkawi.

Merujuk kepada Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Kegagalan nakhoda kapal untuk menunjukkan kepada pegawai pelabuhan, atau mana-mana pegawai penguatkuasa yang berhak, senarai lengkap penumpang yang dibawa adalah satu kesalahan yang boleh didenda sehingga RM 1,000.

Walau bagaimanapun, kaedah semasa yang memerlukan penumpang secara sukarela untuk menulis nama ke dalam buku log yang disediakan, atau tiada arahan khusus untuk merekodkan maklumat penumpang bagi setiap pembelian tiket feri, akan berterusan selagi pihak berkuasa terutamanya Jabatan Laut Malaysia (JLM) tidak menguatkuasan dengan serius Seksyen 233 dan 234 Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Hal ini bukan sahaja berlaku bagi perkhidmatan feri ke Langkawi, bahkan lebih teruk lagi bagi perkhidmatan feri dan bot di pantai timur semenanjung Malaysia. Bagi perkhidmatan pengangkutan laut ke pulau-pulau pelancongan di pantai timur dan selatan semenanjung Malaysia, pengusaha chalet atau resort biasanya menyewa bot, atau membeli tiket feri secara pukal kerana telah memasukkan harga tambang feri atau bot dalam pakej penginapan yang mereka sediakan.

Jadi, lazimnya senarai penumpang tidak wujud, hanya bergantung kepada butiran penginap yang disimpan oleh pihak chalet atau resort. Hal ini akan menjadi tragedi apabila berlakunya sesuatu kemalangan di laut. Ketiadaan senarai penumpang yang lengkap akan menyusahkan respon kecemasan.

Sudah tiba masanya perkhidmatan feri menggunakan pakai sistem yang diamalkan syarikat penerbangan untuk mendaftarkan penumpang, malah tempat duduk dalam feri perlu dinomborkan dan penumpang duduk mengikut nombor kerusi yang dicatat pada tiket. Malah, pembelian tiket bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) juga telah lebih maju ke depan dengan operator penjualan tiket mengambil maklumat daripada kad pengenalan penumpang.

Advertisements

Kategori:Hebahan, Perkapalan