IKMAL; Sasaran 2019

Saya meletakkan 2019 ini sebagai tahun di mana saya akan bekerja keras untuk meningkatkan kesedaran pelaut untuk berpersatuan, khususnya untuk menyertai Ikhtisas Kelautan Malaysia, atau ringkasnya IKMAL.

Dalam pelbagai posting di Facebook Komuniti Perkapalan Malaysia, antara yang selalu ditanyakan adalah berkaitan faedah dan kebaikan menyertai IKMAL.

IKMAL adalah persatuan, bukannya perniagaan. IKMAL adalah ‘khairat’ bukannya insurans. Jika kita membeli insurans, kita pasti ingin tahu apa faedah insurans tersebut yang pastinya mesti berbaloi dengan premium yang dibayar.

IKMAL sebagai persatuan digerakkan oleh ahli-ahli. Pelaut-pelaut Malaysia yang mempunyai konsensus atau keinginan yang sama, apabila bersatu di bawah payung IKMAL, maka ahli-ahlilah yang menentukan apa yang ingin IKMAL capai untuk pelaut Malaysia.

Memang bukan semudah itu sesuatu persatuan digerakkan. Jadi, menjadi kewajipan ahli-ahli untuk memilih barisan kepimpinan yang akan diamanahkan untuk membawa misi IKMAL.

IKMAL perlu menstrategikan apa yang ingin dicapai, supaya sasaran itu khusus (Specific), boleh diukur (Measurable), boleh dicapai (Attainable), logik (Relevant) dan dapat dicapai dalam suatu tempoh masa (Timely).

Imej daripada The Ticker Tape

Sebelum ini, isu-isu berkaitan pelaut yang banyak bersepah di sana sini. Satu pihak berjuang untuk perkara A, satu pihak lagi berdebat untuk perkara B, manakala satu pihak lagi mengetengahkan pula perkara C. Jadinya, isu-isu pelaut jadi lapuk bukan kerana sukar untuk diselesaikan, sebaliknya disebabkan tidak diuruskan dengan baik, tiada strategi dan tiada concerted effort ke arah penyelesaian kepada isu yang berpanjangan.

Oleh itu. Majlis IKMAL (Ahli Jawatankuasa / IKMAL Council) telah berbincang dan memutuskan bagi tahun 2019; sasaran tahun ini adalah untuk berjuang; supaya kerajaan, melalui apa-apa mekanisme yang bersesuaian, untuk menyediakan suatu dana bagi latihan kadet di atas kapal.

Saya akan membincangkan dengan lebih lanjut sasaran 2019 ini dalam satu penulisan lain, dan bagi penulisan kali ini, saya akan memberi gambaran lebih jelas kepada sasaran ini dipilih bagi tahun 2019.

Pada tahun 2017, Pelan Induk Perkapalan Malaysia (Malaysia Shipping Master Plan-MSMP) telah dilancarkan dan salah satu kluster dalam MSMP adalah berkenaan pembangunan pelaut. Setelah berlaku pertukaran dalam kepimpinan kerajaan pasca PRU14, Menteri Pengangkutan yang baru terus komited untuk meneruskan MSMP. Maka, National Shipping & Port Council (NSPC) telah diaktifkan dan telah bersidang. NSPC akan menjadi penggerak utama bagi agenda MSMP.

Bagi kluster pelaut, terdapat 6 sasaran yang telah ditetapkan untuk dicapai dalam masa perlaksanaan MSMP dari tahun 2017 hingga 2020. Sasarannya seperti berikut;

  1. Penubuhan Seafarer Management Center
  2. Melahirkan 20,000 pelaut Malaysia
  3. Menyediakan 2000 tempat latihan di atas kapal (kadet & perantis)
  4. Kapal-kapal Malaysia dikendalikan oleh 90% pelaut Malaysia
  5. Pengurangan pengeluaran Perakuan Pengiktirafan (Certificate of Recognition) kepada pelaut asing pada jumlah 1028 COR pada satu-satu masa (Mengurangkan pengambilan pelaut asing)
  6. Menerbitkan 20 penulisan teknikal oleh pelaut

Justeru, mengapa IKMAL memberikan tumpuan kepada sasaran nombor 3?

Sasaran No. 1 telah dijalankan, dan buat masa ini, saya tidak berminat untuk memberi komen lanjut. Sasaran No. 2 lebih kepada sinergi antara pihak kerajaan dan Institusi Latihan Maritim. Sasaran No. 6 sama juga seperti No. 1, di mana saya belum berminat untuk memberi komen.

Sasaran No. 4 & No. 5, sekiranya hendak dicapai, maka sasaran no. 3 hendaklah diberi perhatian. Maka sebab itulah IKMAL mensirnegikan tahun 2019 untuk mencapai sasaran No. 3.

Pengambilan kadet di Institusi latihan Maritim telah menurun dari tahun ke tahun kerana kurang penajaan dari syarikat perkapalan. Lepasan sekolah yang berminat dalam kerjaya perkapalan terpaksa mencari alternatif lain untuk dana pendidikan, termasuk pinjaman dari PTPTN. Namun demikian, daripada jumlah pengambilan kadet yang menurun, jumlah yang berjaya menamatkan pengajian sehingga mendapat Perakuan Kekompetenan (COC) juga semakin menurun.

Kenapa Semakin Menurun?

Situasi ekonomi semasa menyebabkan pemilik kapal tidak lagi mahu melatih kadet di atas kapal mereka. Walaupun kos latihan kadet di kapal memakan belanja purata antara RM700 ke RM1500 sebulan bagi seorang kadet yang boleh dikatakan kecil, tetapi pemilik kapal yang katanya tersepit disebabkan kos pengoperasian kapal yang semakin tinggi mengambil keputusan untuk tidak lagi memberi ruang kepada kadet di atas kapal.

Situasi ini perlu diatasi, jika tidak akan menjadi penghalang kepada pelbagai lagi sasaran lain, dan penghalang kepada pembangunan pelaut Malaysia secara keseluruhannya. Bagaimana ingin melahirkan 20,000 pelaut dan memastikan kapal Malaysia dioperasikan oleh 90,000 pelaut Malaysia jika hal fundamental latihan dan pendidikan pelaut tidak dapat diatasi.

KOLEKTIF & KREDIBEL

Pelaut Malaysia rata-ratanya masih berbincang apa yang IKMAL boleh tawarkan, dan adakah IKMAL akan berjaya membawa suara mereka ke peringkat lebih atas. Hakikatnya, walaupun IKMAL ada pengaruh sebagai sebuah pertubuhan yang berusia lebih 30 tahun, tetapi suara IKMAL belum cukup berkredibel, dan belum kolektif membawa suara kumpulan besar pelaut Malaysia.

Pelaut Malaysia harus melupakan segala kisah lama kegagalan pertubuhan pelaut dan fokus untuk bersatu di bawah satu payung yang boleh diharapkan bagi membawa suara pelaut supaya didengari dengan lebih prihatin untuk Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Jika masih ingin menyentuh luka lama, tiada apa yang dapat dicapai. Jika masih lagi ragu-ragu, keraguan itu akan terus wujud dan tidak mebawa sebarang keuntungan. Sertai IKMAL, aktif dalam program-program yang dijalankan, hadir mesyuarat agung, pilih pemimpin yang dirasakan boleh membawa agenda pelaut, dan pada setiap masa memberi sokongan kepada pertubuhan untuk membawa agenda pelaut.

Mengkritik kosong di luar pertubuhan akan menjadi sia-sia, dan nasib pelaut Malaysia akan terus berada pada tempat yang sama tanpa anjakan.

Jadikan tahun 2019 sebagai tahun dimana Pelaut Malaysia melakukan anjakan paradigma besar-besaran untuk bersatu di bawah satu payung; IKMAL. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Ahmad Badri bin Alwi merupakan Pengasas & Moderator Facebook Komuniti Perkapalan Malaysia serta Ahli Majlis IKMAL. Pendapat yang diutarakan tidak semestinya pendapat rasmi IKMAL, sebaliknya perkongsian pendapat beliau sendiri.

Advertisements